SELAMAT DATANG

Tuesday, March 29, 2011

Di Sebalik Mesir...

" Balik sungkai naik lori,
   Bayar tambang ikut hati,
   Esok hari kawan mari,
   Ajak sembang kedai kopi. "



Dunia dikejutkan dengan kebangkitan rakyat Tunisia menjatuhkan legasi berpuluh tahun kepimpinan pincang ketua negara mereka. Bosan dengan sikap pemimpin mereka yang tidak mengutamakan kebajikan rakyat serta hanya tahu mengaut kekayaan negara untuk kegunaan peribadi, rakyat bangun melawan. Akhirnya kerajaan Tunisia tunduk ke atas kuasa rakyat.

Setelah Tunisia dilanda badai kebangkitan rakyat, Mesir pula mula bergoncang. Bumi mesir dikejutkan dengan Tsunami kuasa rakyat. Rakyat mesir turun ke jalanan. Hosni Mubarak mula rasa gelisah. Setelah berminggu rakyat bangun melawan, kerajaan Mesir akhirnya tunduk ke bumi.

Begitulah hebatnya kuasa rakyat sekiranya kebajikan mereka diabaikan dan kebenaran diketepikan. Isu Mesir menyebabkan rakyat dari negara luar terpaksa pulang meninggalkan Mesir buat seketika. Tidak terkecuali ribuan pelajar Malaysia yang berada di Mesir. Terima kasih kerajaan Malaysia kerana membawa pulang para pelajar dengan jayanya walau terselit beberapa kontroversi.

Satu daripada pelajar yang pulang tersebut adalah rakan sekampung saya. Mendengar cerita sebenar yang dibawanya daripada Mesir berjaya membuka minda saya mengenai kesedaran rakyat Mesir. Mesir suatu ketika dahulu, merupakan sebuah negara yang gagah, besar pengaruhnya terutamanya ketika di zaman pemerintahan Khalifah Islam. Di Mesir, Salahuddin Al-Ayubi seorang pahlawan muda Islam di zaman pemerintahan Khalifah mula mencipta nama. Beliau menjadi salah seorang pemimpin di Mesir dan Beliau jugalah yang menjadi ketua ketika tentera Islam berjaya membuka Palestin daripada pakatan tentera salib.

Berbalik kepada cerita yang dibawa oleh sahabat saya tadi, dia menceritakan apa yang telah terjadi di Mesir. Antara cerita yang menarik perhatian saya adalah apabila dia disuruh pulang ke rumahnya oleh seorang kanak-kanak yang masih kecil kerana perintah darurat telah dikenakan. Kanak-kanak itu sedang menjalankan tugas sebagai pengawal di kawasan kediaman tersebut. Ini kerana polis dan tentera mungkin sedang sibuk menjalankan tugas di dataran tahrir bagi mengawal para penunjuk perasaan. Ini menunjukkan para penunjuk perasaan tidak membiarkan kawasan kediaman dibiarkan tidak terkawal kerana sekiranya tidak dikawal, mungkin akan ada kumpulan yang tidak berperikemanusiaan akan mengambil kesempatan dengan memecah masuk ke rumah-rumah penduduk.

Kanak-kanak itu yang menarik perhatian sebenarnya. Usianya cuma baru beberapa tahun, mungkin belum mencecah belasan tahun, namun kematangan serta kesedaran kanak-kanak tersebut terhadap nasib bangsanya cukup mengkagumkan. Cuba kita bandingkan situasi di sana dengan kanak-kanak yang berada di Malaysia. Jauh bezanya. 

Satu lagi kisah yang diceritakan oleh sahabat saya adalah mengenai seorang lagi kanak-kanak yang sedang mengangkat batu besar untuk menutup jalan. Jika di Malaysia, kanak-kanak seusia begitu sudah pastinya sedang mengangkat permainan di tangan ataupun hanya bermain dengan rakan-rakan sebaya tanpa memikirkan apa yang berlaku di sekeliling. Mungkin situasi di sini dan di sana berbeza, itu kita tidak boleh nafikan. Namun, itu kita tidak boleh jadikannya sebagai alasan. Untuk membentuk generasi yang benar-benar hebat, tentunya kita perlu bermula dengan mendidik generasi itu dari usia kanak-kanak lagi. Ibarat pepatah melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Ayuh semua, ayuh kita bentuk generasi muda kita dengan bermula dari didikan di peringkat kanak-kanak lagi. Teruslah berusaha membentuk generasi yang cintakan agama. Jika kita tidak mati syahid hari ini, kita doakan agar akan ada ahli dari keturunan kita yang akan syahid mempertahankan agama suatu hari nanti. InsyaALLAH.



BANGUN MELAWAN!

Bicara Libya~

Minggu lalu dunia dikejutkan dengan serangan tentera bersekutu ke atas Libya. Libya merupakan sebuah negara yang terletak di utara Afrika. Negara ini memiliki aset minyak yang banyak dan begitu bernilai. Sebelum serangan itu berlaku Libya sedang menghadapi tekanan dalaman akibat daripada kebangkitan kuasa rakyat yang inginkan perubahan berlaku dalam tampuk pemerintahan negara mereka. Muammar Gadaffi yang begitu lama telah memerintah negara itu telah menyebabkan rakyat bangkit melawan. Bangkit melawan kerana mereka begitu dahagakan perubahan seperti yang berlaku di beberapa negara Arab dan Afrika, seperti Mesir dan Tunisia.

Namun, yang menjadi persoalan kini, mengapa tentera bersekutu menyerang Libya. Apakah tujuan utama mereka menyerang Gadaffi dan regimnya sedangkan kerajaan Libya ketika ini sedang menghadapi tekanan yang sangat kuat daripada kumpulan rakyatnya yang inginkan revolusi. Adakah kerana kekayaan minyak Libya menjadi faktor utama kepada serangan pakatan bersekutu ini? Oleh kerana Libya sedang menghadapi tekanan dalaman, adakah pihak bersekutu menggunakan masa ini sebagai peluang untuk mereka menjatuhkan Libya? Pelbagai persoalan yang timbul.

Saya ingin mengupas isu ini mengikut pandangan saya, bukan atas niat apa-apa, cuma sekadar memberi pandangan. ^_^

Adakah benar tentera bersekutu ingin membantu rakyat Libya membebaskan diri mereka daripada kerajaan Gadaffi? Jika benar, mengapa sekarang? Mengapa tidak tahun lalu? Dua tahun lalu? atau 10 tahun lalu? Ini yang menjadi persoalan sekarang.

Apabila kita imbas kembali sejarah kejatuhan Kerajaan Khalifah Turki Uthamaniyyah ke atas Mustafa Kamal Attaturk, kita akan dapat lihat rentetan peristiwa dimana pakatan tentera barat dan Mustafa Kamal bekerjasama untuk menaikkan nama Mustafa Kamal di Turki seterusnya menjatuhkan kerajaan Khalifah terakhir. Salah satu rentetan peristiwa yang menarik perhatian saya adalah ketika Mustafa Kamal berdepan dengan kebangkitan rakyat di Turki, rakyat Turki ketika itu inginkan perubahan dan ingin kembali kepada kepimpinan Islam seperti di era pemerintahan Khalifah. Namun, Mustafa Kamal pantas mengalih tumpuan rakyat dengan bekerjasama dengan pakatan barat. Beliau meminta tentera barat menyerang Turki, dan kemudian tentera Turki di bawah pimpinannya mempertahankan Turki dan berjaya mengalahkan tentera barat mengikut pelan rancangan mereka. Apabila rakyat Turki melihat kejayaan kerajaan Kamal Attaturk menewaskan tentera musuh, semangat kebangkitan rakyat Turki menentang kerajaan sekular itu mula pudar beransur padam.

Adakah kisah sejarah Turki ini boleh kita kaitkan dengan apa yang berlaku di Libya sekarang? Mungkin ya, mungkin tidak. Apapun apabila kita lihat apa yang berlaku di Libya kini, ianya amat menyedihkan. Bukan setakat tentera Libya yang mati diserang tentera bersekutu, rakyat Libya yang tidak berdosa turut menjadi mangsa kepada situasi genting ini. Adakah patut PBB terus membenarkan serangan ini terus berlaku? Apakah peranan PBB sebenarnya? Siapakah PBB sebenarnya? Banyak isu yang boleh dikupas dan disingkap atas apa yang berlaku di Libya. Kita sebagai rakyat Malaysia, ayuh sama-sama kita nyatakan sokongan kepada rakyat Libya, sama-sama kita doakan keselamatan mereka. InsyaALLAH.

Ayuh! Terus berjuang rakyat Libya!

Ini merupakan pandangan penulis yang masih baru dalam bidang penulisan. Rakan-rakan pembaca diharapkan dapat memberi komen serta kritikan kepada penulis. Nasihat dan tunjuk ajar pembaca amat diharapkan.

Sekian.






Tuesday, February 22, 2011

21 FEBRUARI 2011

21 Februari 2011. Tarikh keramat buat mahasiswa UKM. Malam segar dengan teriakan anak muda. Malam yang penuh gema dengan laungan takbir dari anak muda. Suara keramat yang plaing digeruni dimana-mana pelusuk di seluruh dunia. Anak muda bangkit berubah. Anak muda tak tunduk menyerah. Ini buktinya bahawa anak muda sudah BERANI BERUBAH.

Kita telah melalui satu tempoh yang amat panjang berada di bawah kepimpinan regim Aspirasi. Kini, anak muda Universiti Kebangsaan Malaysia mula menongkah arus. Pro A kita tolak! Pro M kita tarik. Kita warnakan demokrasi UKM dengan secorak warna yang indah. Ini yang kita nantikan setelah 7 tahun kita tak kalah cuma belum menang sahaja. Alhamdulillah... setinggi-tinggi syukur diucapkan kepada ALLAH S.W.T.. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah S.A.W.. Dengan perjuangan baginda, hari ini kita masih mengecapi nikmat iman dan islam dari ALLAH S.W.T.. Kemenangan GMUKM kali ini membuktikan apa yang tersirat dan tersurat di dalam lubuk hati setiap mahasiswa UKM. Mereka inginkan PERUBAHAN. Maka, wahai para WIRAWAN dan WIRAWATI GMUKM, ini masanya untuk kalian menerajui tampuk pimpinan PMUKM dengan sebaiknya. Pengisian yang kalian bakal lakukan akan diteliti oleh setiap mahasiswa. Rancang perjalanan sebaiknya supaya tidak terhenti di tengah jalan

Kata orang, MENGISI KEMENANGAN ITU LEBIH PAYAH DARI MENGEJAR KEMENANGAN!

Jangan putus semangat sahabat2 sekalian. Jangan undur sebelum mara. Ini peluang untuk kita membuktikan para WIRA-WIRA GMUKM adalah individu yang terbaik, yang dipilih oleh ALLAH untuk memikul amanah dan tanggujawab yang diberikan.

Akhir bicara, TAHNIAH DAN TAKZIAH buat sahabat sekalian!

TERUSKAN GEMA TAKBIR di BUMI UKM!

ALLAHUAKBAR!

Tuesday, January 11, 2011

Syukran Jazilan ya sahabat~

Aku tiba di satu persimpangan jalan. Sebelum itu aku telah diberi tunjuk ajar oleh seorang sahabat, "pilihlah jalan yang paling kanan". Tapi kenapa? Keegoan diri menyebabkan aku tidak ingin mendengar tunjuk ajarnya. Aku pilih jalan kiri yang ku rasakan paling terang dan selamat. Tapi aku mula gelisah tika tiba di pertengahan jalan. Tarbiyyah yang pernah aku terima dari sahabatku dahulu kembali menerjah masuk ke ruang jiwaku. Sinar yang ku cari tidak ku temui di jalan kiri ini. Aku yakin sahabatku tidak berbohong kepadaku. Kata-katanya benar belaka. Aku harus kembali ke jalan kanan! Jalan yang ku rasa hitam di awalnya, namun sinar indah menantiku nun jauh di penghujungnya...
Related Posts with Thumbnails