SELAMAT DATANG

Tuesday, March 29, 2011

Di Sebalik Mesir...

" Balik sungkai naik lori,
   Bayar tambang ikut hati,
   Esok hari kawan mari,
   Ajak sembang kedai kopi. "



Dunia dikejutkan dengan kebangkitan rakyat Tunisia menjatuhkan legasi berpuluh tahun kepimpinan pincang ketua negara mereka. Bosan dengan sikap pemimpin mereka yang tidak mengutamakan kebajikan rakyat serta hanya tahu mengaut kekayaan negara untuk kegunaan peribadi, rakyat bangun melawan. Akhirnya kerajaan Tunisia tunduk ke atas kuasa rakyat.

Setelah Tunisia dilanda badai kebangkitan rakyat, Mesir pula mula bergoncang. Bumi mesir dikejutkan dengan Tsunami kuasa rakyat. Rakyat mesir turun ke jalanan. Hosni Mubarak mula rasa gelisah. Setelah berminggu rakyat bangun melawan, kerajaan Mesir akhirnya tunduk ke bumi.

Begitulah hebatnya kuasa rakyat sekiranya kebajikan mereka diabaikan dan kebenaran diketepikan. Isu Mesir menyebabkan rakyat dari negara luar terpaksa pulang meninggalkan Mesir buat seketika. Tidak terkecuali ribuan pelajar Malaysia yang berada di Mesir. Terima kasih kerajaan Malaysia kerana membawa pulang para pelajar dengan jayanya walau terselit beberapa kontroversi.

Satu daripada pelajar yang pulang tersebut adalah rakan sekampung saya. Mendengar cerita sebenar yang dibawanya daripada Mesir berjaya membuka minda saya mengenai kesedaran rakyat Mesir. Mesir suatu ketika dahulu, merupakan sebuah negara yang gagah, besar pengaruhnya terutamanya ketika di zaman pemerintahan Khalifah Islam. Di Mesir, Salahuddin Al-Ayubi seorang pahlawan muda Islam di zaman pemerintahan Khalifah mula mencipta nama. Beliau menjadi salah seorang pemimpin di Mesir dan Beliau jugalah yang menjadi ketua ketika tentera Islam berjaya membuka Palestin daripada pakatan tentera salib.

Berbalik kepada cerita yang dibawa oleh sahabat saya tadi, dia menceritakan apa yang telah terjadi di Mesir. Antara cerita yang menarik perhatian saya adalah apabila dia disuruh pulang ke rumahnya oleh seorang kanak-kanak yang masih kecil kerana perintah darurat telah dikenakan. Kanak-kanak itu sedang menjalankan tugas sebagai pengawal di kawasan kediaman tersebut. Ini kerana polis dan tentera mungkin sedang sibuk menjalankan tugas di dataran tahrir bagi mengawal para penunjuk perasaan. Ini menunjukkan para penunjuk perasaan tidak membiarkan kawasan kediaman dibiarkan tidak terkawal kerana sekiranya tidak dikawal, mungkin akan ada kumpulan yang tidak berperikemanusiaan akan mengambil kesempatan dengan memecah masuk ke rumah-rumah penduduk.

Kanak-kanak itu yang menarik perhatian sebenarnya. Usianya cuma baru beberapa tahun, mungkin belum mencecah belasan tahun, namun kematangan serta kesedaran kanak-kanak tersebut terhadap nasib bangsanya cukup mengkagumkan. Cuba kita bandingkan situasi di sana dengan kanak-kanak yang berada di Malaysia. Jauh bezanya. 

Satu lagi kisah yang diceritakan oleh sahabat saya adalah mengenai seorang lagi kanak-kanak yang sedang mengangkat batu besar untuk menutup jalan. Jika di Malaysia, kanak-kanak seusia begitu sudah pastinya sedang mengangkat permainan di tangan ataupun hanya bermain dengan rakan-rakan sebaya tanpa memikirkan apa yang berlaku di sekeliling. Mungkin situasi di sini dan di sana berbeza, itu kita tidak boleh nafikan. Namun, itu kita tidak boleh jadikannya sebagai alasan. Untuk membentuk generasi yang benar-benar hebat, tentunya kita perlu bermula dengan mendidik generasi itu dari usia kanak-kanak lagi. Ibarat pepatah melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Ayuh semua, ayuh kita bentuk generasi muda kita dengan bermula dari didikan di peringkat kanak-kanak lagi. Teruslah berusaha membentuk generasi yang cintakan agama. Jika kita tidak mati syahid hari ini, kita doakan agar akan ada ahli dari keturunan kita yang akan syahid mempertahankan agama suatu hari nanti. InsyaALLAH.



BANGUN MELAWAN!

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails