SELAMAT DATANG

Tuesday, March 29, 2011

Bicara Libya~

Minggu lalu dunia dikejutkan dengan serangan tentera bersekutu ke atas Libya. Libya merupakan sebuah negara yang terletak di utara Afrika. Negara ini memiliki aset minyak yang banyak dan begitu bernilai. Sebelum serangan itu berlaku Libya sedang menghadapi tekanan dalaman akibat daripada kebangkitan kuasa rakyat yang inginkan perubahan berlaku dalam tampuk pemerintahan negara mereka. Muammar Gadaffi yang begitu lama telah memerintah negara itu telah menyebabkan rakyat bangkit melawan. Bangkit melawan kerana mereka begitu dahagakan perubahan seperti yang berlaku di beberapa negara Arab dan Afrika, seperti Mesir dan Tunisia.

Namun, yang menjadi persoalan kini, mengapa tentera bersekutu menyerang Libya. Apakah tujuan utama mereka menyerang Gadaffi dan regimnya sedangkan kerajaan Libya ketika ini sedang menghadapi tekanan yang sangat kuat daripada kumpulan rakyatnya yang inginkan revolusi. Adakah kerana kekayaan minyak Libya menjadi faktor utama kepada serangan pakatan bersekutu ini? Oleh kerana Libya sedang menghadapi tekanan dalaman, adakah pihak bersekutu menggunakan masa ini sebagai peluang untuk mereka menjatuhkan Libya? Pelbagai persoalan yang timbul.

Saya ingin mengupas isu ini mengikut pandangan saya, bukan atas niat apa-apa, cuma sekadar memberi pandangan. ^_^

Adakah benar tentera bersekutu ingin membantu rakyat Libya membebaskan diri mereka daripada kerajaan Gadaffi? Jika benar, mengapa sekarang? Mengapa tidak tahun lalu? Dua tahun lalu? atau 10 tahun lalu? Ini yang menjadi persoalan sekarang.

Apabila kita imbas kembali sejarah kejatuhan Kerajaan Khalifah Turki Uthamaniyyah ke atas Mustafa Kamal Attaturk, kita akan dapat lihat rentetan peristiwa dimana pakatan tentera barat dan Mustafa Kamal bekerjasama untuk menaikkan nama Mustafa Kamal di Turki seterusnya menjatuhkan kerajaan Khalifah terakhir. Salah satu rentetan peristiwa yang menarik perhatian saya adalah ketika Mustafa Kamal berdepan dengan kebangkitan rakyat di Turki, rakyat Turki ketika itu inginkan perubahan dan ingin kembali kepada kepimpinan Islam seperti di era pemerintahan Khalifah. Namun, Mustafa Kamal pantas mengalih tumpuan rakyat dengan bekerjasama dengan pakatan barat. Beliau meminta tentera barat menyerang Turki, dan kemudian tentera Turki di bawah pimpinannya mempertahankan Turki dan berjaya mengalahkan tentera barat mengikut pelan rancangan mereka. Apabila rakyat Turki melihat kejayaan kerajaan Kamal Attaturk menewaskan tentera musuh, semangat kebangkitan rakyat Turki menentang kerajaan sekular itu mula pudar beransur padam.

Adakah kisah sejarah Turki ini boleh kita kaitkan dengan apa yang berlaku di Libya sekarang? Mungkin ya, mungkin tidak. Apapun apabila kita lihat apa yang berlaku di Libya kini, ianya amat menyedihkan. Bukan setakat tentera Libya yang mati diserang tentera bersekutu, rakyat Libya yang tidak berdosa turut menjadi mangsa kepada situasi genting ini. Adakah patut PBB terus membenarkan serangan ini terus berlaku? Apakah peranan PBB sebenarnya? Siapakah PBB sebenarnya? Banyak isu yang boleh dikupas dan disingkap atas apa yang berlaku di Libya. Kita sebagai rakyat Malaysia, ayuh sama-sama kita nyatakan sokongan kepada rakyat Libya, sama-sama kita doakan keselamatan mereka. InsyaALLAH.

Ayuh! Terus berjuang rakyat Libya!

Ini merupakan pandangan penulis yang masih baru dalam bidang penulisan. Rakan-rakan pembaca diharapkan dapat memberi komen serta kritikan kepada penulis. Nasihat dan tunjuk ajar pembaca amat diharapkan.

Sekian.






No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails